Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai penjawat awam muflis sangat mudah. Antaranya,

1.    kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang tidak seberapa untuk penjawat awam berjawatan rendah yang memaksa mereka membuat pinjaman sehingga menyebabkan mereka muflis.

2.   Majikan menyekat peruntukkan untuk pekerja bawahan dari membuat claim Overtime (OT) terutamanya pekerja2 yang bekerja di bandar – bandar yang memerlukan pembelanjaan yang besar. Terdapat jabatan kerajaan tidak membenarkan OT di Claim dengan wang tetapi hanya digantikan claim Time Off sahaja, jadi pekerja terpaksa membuat pinjaman untuk perbelanjaan harian sehingga menyebabkan mereka tidak mampu untuk membayar kembali.

3.   Statistik mengatakan 72.74 atau 790 yang muflis itu lelaki. Ini mungkin sikap orang lelaki untuk gemar menghabiskan duit untuk pekara – pekara yang tidak memberi hasil seperti memodifikasi kereta, joli dan lain – lain lagi.

4.    Interest kad kredit yang terlampau tinggi yang membebankan pengguna dari kalangan penjawat awam sehingga mereka gagal menyelesaikan hutang kad kredit. Selain itu, penggunakan kad kredit yang tidak terkawal dikalangan penjawat awam.

5.    Kawan makan kawan! semasa mencari penjamin, bukan main manis mulut. Bila dah dapat, tidak boleh membayar hutang, batang hidung pun tak nampak sampaikan penjamin yang bekerja sebagai penjawat awam menanggung akibat.

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.

“Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis,” katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku’ sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah,” katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, ” katanya.

-Berita Harian

Popularity: 3% [?]