Rasanya tidak terlambat bagi haku mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang berjaya merangkul kejuaraan All England, kejuaraan yang menjadi impian setiap pemain badminton negara. Tetapi, cerita kejayaan Datuk Lee Chong Wei hanyalah secebis cerita gembira yang terukir didalam drama badminton negara yang penuh dengan duka dan kontroversi.
BAM tidak ubah seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), penuh dengan cerita dan drama sehinggakan para peminat tidak faham dengan hala tuju sebenar persatuan itu. Dari isu masalah jurulatih beregu, prestasi pemain yang tidak menentu, masalah kewangan dan yang terbaru kemelut politik diantara pegawai tertinggi persatuan itu seolah – oleh memberi petanda bahawa impian negara untuk merangkul Piala Thomas dalam kejohanan yang akan datang ini tidak akan menjadi kenyataan.
Berita mengenai pengantungan Setiausaha Kehormat BAM, P Ganga Rao semalam hanya menambah masalah dan pergolakan yang sedang berlaku didalam BAM itu sendiri. Dengan tempoh hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi sebelum bermulanya Piala Thomas, BAM sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan para pemain dari sibuk bersengketa sesama sendiri.
Lihat apa yang berlaku hari ini, Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjaga kebajikan para pemain dari BAM kerana persatuan itu gagal menjalankan tanggungjawab mereka terhadap para pemain dengan sebaik mungkin. Bahkan, timbul keraguan dikalangan pegawai BAM yang dikatakan cuba mengaut keuntungan diatas bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan terhadap persatuan itu. Ini menunjukan BAM bukan sahaja bermasalah di peringkat atasan, tetapi pengurusan mereka juga lemah.








