Setelah bahang Anugerah Bintang Popular Berita Harian semakin menyejuk, kini satu lagi anugerah bakal memanaskan industri hiburan tanah air. Anugerah yang dimaksudkan ialah Anugerah Industri Muzik (AIM) yang ke – 17. Anugerah yang dianjurkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (AIMM) dan disokong oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) serta pihak media penyiaran dan syarikat komunikasi sebagai penaja utamanya adalah untuk memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat seni muzik tanah air yang telah berjuang dalam memartabatkan industri muzik tanah air.
Berbeza dengan anugerah – anugerah yang lain, pemenang untuk anugerah ini dipilih 100% oleh juri profesional bukanya melalui undi peminat. Ini bermakna, kualiti lebih penting dari populariti.
Edisi ini juga dikatakan mendapat pencalonan paling tinggi sekali sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dimana pihak penganjur menerima 925 jumlah pencalonan, peningkatan sebanyak 30%. Menurut Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Dato’ Aziz Bakar, peningkatan ketara ini dapat dilihat menerusi pencalonan 12 kategori muzik single yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu.









