Laporan Ketua Audit Negara mengenai pembelanjaan jabatan sangat – sangat mengejutkan rakyat kerana terdapat beberapa kepincangan yang dilakukan oleh individu – individu tertentu dalam membelanjakan kewangan jabatan. Penyelewangan yang berlaku ini telah menyebabkan perbelanjaan negara melebihi apa yang dari sepatutnya.
Sebagai contoh, artikel dari Malaysiakini.com bertarikh 21 Oktober 2009 yang diambil dari Laporan Ketua Audit Negara 2008 menyatakan Kementerian Pendidikan telah membelanjakan hampir RM60,000 untuk kerja membekal, menanam dan penyelenggaran taman sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan. Harga terbabit terlalu mahal sedangkan apabila mereka membandingkan harga tersebut dengan harga dari pembekal yang berlainan, harganya jauh lebih murah dari yang dibeli oleh pihak Kementerian.
Begitu juga dengan kes Kementerian Belia dan Sukan yang membeli peralatan untuk Institut Kemahiran Belia Negara (KKBN) pada tahun 2007 didapati telah membeli dengan harga yang begitu mahal jika dibandingkan dengan harga pasaran. Yang terbaru, “sandwich kosong” yang diterima oleh pelajar di Sabah yang dikatakan bernilai lebih rendah dengan apa yang dibayar. Persoalannya sekarang, apa yang menyebabkan kes – kes sebegini berlaku? Adakah terdapat penyelewengan didalam sesebuah jabatan itu sendiri, ataupun pihak kontraktor menipu dalam memberi perkhidmatan?









